Powered by Blogger.

Tuesday, October 20, 2015

32 kes demam kepialu dikesan di ibu negara

Suka.info     5:52:00 AM     0


KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak demam kepialu atau tifoid menular di beberapa kawasan di ibu negara dan sebanyak 32 kes direkodkan sejak minggu pertama bulan Ogos lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daerah Titiwangsa mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes diikuti Kepong (8), Lembah Pantai (4) dan Cheras (4) namun belum ada kes kematian dilaporkan.

Beliau berkata, kes demam kepialu yang berpunca daripada bakteria Salmonella Typhii pada mulanya dikesan dalam kalangan buruh binaan yang tinggal di Cheras dan bekerja berdekatan pusat bandar raya.

“Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang menjalankan penyiasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan kejadian demam kepialu berlaku.

“Hasil siasatan di lapangan masih belum dapat merumuskan punca jangkitan serta jenis makanan yang dimakan kerana tiada persamaan di antara kes-kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, pihaknya telah membuka bilik gerakan bagi menyelaras aktiviti penyiasatan dan kawalan.

Katanya, sejumlah 37 orang kontak terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan pengendali makanan telah disaring dan 24 buah premis makanan diperiksa.

“Sejumlah 79 sampel najis dan empat sampel bekalan air minum diambil bagi mengesan kehadiran bakteria ini. Setakat ini belum ada sampel yang dilaporkan positif Salmonella Typhii.

“Pemeriksaan juga dijalankan di kilang-kilang pembekal ais. Di samping itu, aktiviti pemantauan dan kawalan melibatkan sistem pembekalan air telah dijalankan bagi memastikan kualiti bekalan air di Kuala Lumpur adalah baik,”katanya.

Menurutnya, Kuala Lumpur merupakan kawasan yang sentiasa mencatat kejadian penyakit demam kepialu yang rendah setiap tahun.

Menarik Dari Intenet Raya:

0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.