Powered by Blogger.

Monday, October 19, 2015

Bau kicap basi menghantui penduduk Bukit Lagong

Suka.info     5:35:00 PM     0

SUNGAI BULOH, 19 Oktober Bau busuk serta pencemaran air yang teruk disebabkan oleh longgokan kicap tamat tempoh menghantui kehidupan lebih 200 penduduk Kampung Bahagia Bukit Lagong di sini.

Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata), Adzly Ab Manas berkata, keadaan tersebut terpaksa dilalui oleh penduduk kampung sejak dua bulan lalu selepas pihak tidak bertanggungjawab bertindak membuang bahan makanan tamat tempoh itu di kawasan bukit berhampiran kampung terbabit.

Jelasnya, antara barangan yang dibuang dan dilonggokkan di kawasan berkenaan termasuk kicap, sos, makanan dalam tin, minyak masak yang telah digunakan, pelbagai produk Industri Kecil Sederhana (IKS) serta sisa bahan binaan.

“Keadaan bertambah parah apabila hujan lebat yang mana cecair hitam berkenaan mengalir ke rumah penduduk kampung dan mencemari sungai di kawasan ini.

“Kami mengesyaki perbuatan ini dibuat oleh pihak kontraktor luar yang mengambil jalan mudah menceroboh kawasan ini dan membuang bahan buangan tersebut di sini.

“Saya juga tidak pasti sama ada perbuatan ini juga tindakan sabotaj namun ia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri kerana tidak memikirkan keselesaan serta keselamatan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah Adzly, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah dan Galian Gombak supaya turun padang untuk melihat dan mengatasi masalah itu.

Ujarnya, kampung berkenaan telah digazetkan sebagai kampung warisan dan PBT perlu memastikan pihak yang melakukan tindakan tersebut diambil tindakan tegas.

“Perkata dan penduduk kampung akan membuat laporan polis mengenai perkara ini dan akan mengambil langkah pencegahan dengan menutup dua jalan masuk ke kawasan tersebut.

“Kami juga menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah supaya ambil perhatian terhadap perkara ini,” tegasnya.

Sementara itu, wakil penduduk, Zulkifli Salleh, 47 berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab itu menjalankan aktiviti tersebut pada waktu malam selepas waktu Maghrib sehingga sebelum waktu Subuh.

Katanya, lori yang masuk ke kawasan berkenaan pula tidak memasang lampu bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan penduduk.

“Oleh itu saya meminta pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat kerana ia mengganggu kehidupan penduduk di sini.

“Malah lori-lori tersebut juga membahayakan keselamatan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak dan warga emas,” ujarnya.


Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (Perkata) Adzly Ab. Manas (dua, kanan) meninjau kawasan lambakan bahan makanan tamat tempoh yang dibuang di Kg Bukit Lagong, Sg Buloh hingga mencemar persekitaran dan mengganggu penduduk. Foto TRP/ Siti Syahirah

Sumber: therakyatpost.com

Menarik Dari Intenet Raya:

0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.