KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditendang, diheret dan dirompak oleh dua lelaki di dalam lif di sebuah kondominium di Setapak pada minggu lalu.
Insiden tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang kini menjadi viral di media sosial.
Mangsa berusia 24 tahun itu mengalami lebam di kesemua bahagian badan dan dua giginya patah.
Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim dalam perjalanan pulang ke kediamannya di tingkat lapan di kondominium Setapak Prima apabila dua lelaki mengekorinya sehingga ke dalam lif pada kira-kira pukul 11.40 malam, 17 Oktober lalu.
Menerusi rakaman CCTV, dua lelaki sedang berbual antara satu sama lain dengan salah seorangnya berdiri di belakang Lim di dalam lif dan menekan butang tingkat 8 hanya selepas beberapa saat lif naik ke atas.
Beberapa saat sebelum pintu dibuka, seorang suspek memberi isyarat dengan menganggukkan kepala kepada rakannya sebelum Lim ditolak ke dinding lif.
Mangsa cuba bertindak balas tetapi keadaan menjadi lebih buruk apabila seorang lagi suspek menarik rambutnya dan mengheretnya keluar dari lif.
Lim cuba untuk mencapai pintu lif tetapi ditendang oleh kedua-dua suspek beberapa kali.
Pintu lif kemudiannya dibuka dan menunjukkan seorang suspek sedang mengira wang tunai manakala seorang lagi memegang beg tangan Lim.
Kaki Lim boleh dilihat dengan dirinya berada di dalam keadaan tidak bermaya terbaring di lantai.
Kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan dua kereta. Menerusi pemeriksaan polis mendapati kedua-dua nombor kenderaan yang dinaiki suspek adalah palsu.
Lim yang bercakap kepada pemberita pada sidang media MCA Wangsa Maju berkata, serangan tersebut mengakibatkan dua giginya patah, cedera di dagu dan badan.
Mangsa turut kerugian RM8,000 termasuk dua telefon pintar dan kunci kereta.
China Press melaporkan bahawa serangan itu menyaksikan beberapa pengikat zip hitam ditemui di lantai di lokasi kejadian.
Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Yew Teong Look percaya pengikat zip itu digunakan suspek untuk mengikat mangsa.
"Ia mungkin kerja sindiket. Kita telah menyerahkan maklumat kepada polis dan kita mendapatkan perkembangan berhubung kes ini," katanya seperti yang dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, polis telah mengeluarkan lakaran wajah atau 'fotofit' kedua-dua suspek dan sedang memburu mereka.
mstar
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.