PADANG TERAP 26 Okt. – Seorang bapa menuntut sebuah hospital di Alor Setar memberikan penjelasan berhubung kecederaan luka sepanjang satu inci di kepala anak sulungnya yang dilahirkan secara pembedahan pada 5 Oktober lalu.
Nordin Mohamad Yusuf, 32, mendakwa, dia dan isteri Norhayati Zakaria, 31, tidak tahu bagaimana anak sulung mereka, Muhammad Kamarul Zaman yang kini berusia 21 hari boleh mendapat luka tersebut pada mulanya.
Dia yang merupakan pekerja syarikat pembersihan hanya menyedari kejadian tersebut sekitar pukul 4.04 petang ketika diberi peluang melihat anaknya yang baru lahir pada tarikh itu dan mendapati terdapat kesan luka seperti terkena pisau.
“Saya bertanyakan kepada jururawat dan mereka memberi jawapan tidak tahu kerana doktor pakar yang menjalankan pembedahan tidak memaklumkan apa-apa kepada mereka mengenai kejadian ini.
“Saya tidak berpuas hati dengan kejadian ini dan cara doktor serta jururawat menjalankan tugas yang menyebabkan kecederaan ke atas anak saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felcra Kubang Kenyeng, di sini hari ini.
Nordin berkata, dalam hal tersebut, dia dan isteri hanya mahukan penjelasan sebenar berhubung kejadian itu yang menimpa anaknya itu daripada pihak hospital.
Pada masa sama, dia amat risaukan keadaan kesihatan anaknya yang dilahirkan dengan berat 1.66 kilogram (kg) itu dan khuatir jika luka tersebut mendatangkan kesan pada masa hadapan.
“Selepas anak saya dibenarkan pulang pada 16 Oktober lalu, kami membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan saya pergi semula ke hospital untuk meminta penjelasan dengan laporan tersebut.
“Kira-kira, tiga hari kemudian, pihak hospital meminta saya datang untuk memberikan penjelasan dan melihat keadaan anak saya,” katanya.
Sementara itu, jurucakap hospital berkenaan ketika dihubungi berkata, pihak hospital mengambil tindakan pantas menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut apabila mendapat laporan mengenainya dan meminta keluarga berkenaan hadir ke hospital.
Jelasnya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Nordin bersama isteri untuk memberi penjelasan sebenar esok dan pemeriksaan kesihatan terhadap anaknya juga akan dilaksanakan.
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.