Powered by Blogger.

Friday, October 23, 2015

Ubat penyakit tidak berjangkit tiada GST

Suka.info     6:34:00 PM     0



Kuala lumpur: Tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan bagi semua jenis ubat penyakit tidak berjangkit antara tujuh langkah penambahbaikan layanan GST berkuat kuasa menjelang 1 Januari depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penambahbaikan itu membabitkan semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A,B,C,D serta tambahan 95 jenama ubat 'boleh dibeli kaunter'.

"Ini meliput ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ia membabitkan peningkatan dua kali ganda daripada 4,215 kepada 8,630 jenama ubat," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertajuk 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata penambahbaikan kedua ialah melibatkan tiada GST dikenakan bagi pelbagai jenis barangan makanan dan masakan termasuk susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik.

Perdana Menteri berkata bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat Skim Kadar Rata di bawah GST, had jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran melalui skim itu diturunkan kepada RM50,000 daripada RM100,000, yang merupakan penambahbaikan ketiga.

Najib berkata penambahbaikan keempat ialah syarikat terbabit aktiviti penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih di dalam industri aeroangksa dibenarkan menyertai 'Approved Trader Scheme' dan diberi pelepasan GST untuk pengimportan barang.

Penambahbaikan kelima membabitkan pelepasan GST bagi pengimportan semula barangan yang sudah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran, katanya.

Menurutnya, pelepasan GST juga diberi kepada pengimportan semula peralatan dieksport secara sementara bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung.

Seterusnya, katanya pelepas GST turut diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan melalui Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Selain pelepasan dan penambahbaikan itu, Najib turut mengumumkan pengguna telefon bimbit akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan pembayar mereka berkuat kuasa mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2016.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar untuk manfaat penduduk pedalaman di Sabah, Sarawak dan Labuan turut dikecualikan GST.

Najib dalam pada itu memberitahu Dewan Rakyat, sehingga kini, ada hampir 400,000 jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST dengan kadar patuh serahan mencapai lebih 90 peratus. Malaysia mula melaksanakan GST pada 1 April lalu, yang dilihat sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat. - Bernama

Mymetro

Menarik Dari Intenet Raya:

We Got A World Champion Magician To Teach Us A Simple Card Trick. Can You Do It?

Ini 8 Chef Wanita Paling ‘Hot’ & Cantik

[PROMO] Get A Brand NEW 4G LTE Smartphone From As Low As RM158 Today!

0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.