Powered by Blogger.

Wednesday, October 21, 2015

Misi beri keceriaan warga emas

Suka.info     9:10:00 PM     0

Harinya Jumaat dan Sabtu. Tarikh 2 dan 3 Oktober 2015, 25 pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) menuju ke Muar, Johor dengan misi yang sudah ditetapkan. Mahu memberi sedikit keceriaan kepada warga emas yang menginap di Pusat Jagaan Teduhan Zafrah. Ia satu misi kecil, tetapi tidak mudah dilaksana. Mengapa?

Ya, ia bukan tugas yang mudah. Ahli jawatankuasa penyelaras yang terbabit tahu mereka perlu membuat pelbagai persediaan. Ia bukan sekadar program yang umpama melepaskan batok di tangga. Ia perlu sempurna kerana ia membabitkan insan yang istimewa, warga emas yang kita kasihi. Lalu, bagaimana anak muda berumur 19 hingga 22 tahun ini mahu merealisasikan misi mereka?

Perancangan dibuat untuk hari pertama mereka membawa warga emas berjalan-jalan sambil membeli-belah di pasar raya Giant, Muar. Hari kedua, mereka menghabiskan setengah hari dengan mengadakan aktiviti di pusat jagaan pula.

Program yang kedua mungkin tampak mudah, tetapi bagaimana dengan program pertama?

Perlu diambil kira, bagaimana mahu membawa 15 warga emas yang uzur keluar bersantai di samping membeli-belah?

Perkara yang perlu ada ialah sukarelawan yang ramai, kerusi roda untuk semua dan pengangkutan yang mudah dinaiki. Bagaimana memastikan mereka selamat, selesa dan gembira?

Hari yang dirancang pun tiba. Dengan kerjasama padu daripada warga petugas Pusat Jagaan Teduhan Zafrah sendiri, segalanya berjalan seperti yang dirancang. Semua orang tampak teruja kerana ia boleh dikatakan program pertama bagi semua yang terbabit.

Walaupun kelewatan berlaku kerana masalah pengangkutan dari Melaka, sebaik tiba di Giant, Muar, setiap sukarelawan yang terbabit sudah tahu tugasan masing-masing. Daripada meniup belon, mengambil warga emas, menung­gu di pintu masuk, menyediakan tempat makan dan segala-galanya bagi melancarkan majlis. Setiap warga emas ada sukarelawan khas yang menjaganya dan ia kekal sehingga ke hari kedua.

Ternyata suasana sangat ceria hari itu. Walaupun sukarelawan perlu berulang-alik untuk mengambil, menghantar dan kemudian menghantar barang yang dibeli ke pusat jagaan itu, ternyata semuanya puas dapat mencapai misi yang diharapkan iaitu memberi sedikit keceriaan kepada warga emas yang masing-masing menggelar diri mereka datuk dan nenek.

Semua sukarelawan cuba sedaya upaya mendekati warga emas jagaan mereka. Walaupun pada awalnya mereka masih malu-malu, kemudian masing-masing sudah boleh bersembang dan bercerita.

Sukarelawan diminta membawa warga emas memilih barangan yang mahu dibeli dengan dana bernilai RM100 yang disediakan oleh kumpulan amal Superfrends. Ada yang mahu membeli baju, seluar, biskut, buah dan aiskrim.

Walaupun ia berlangsung dalam masa yang singkat, ia cukup bermakna bagi semua. Ia tidak berakhir di situ kerana kemudian diadakan acara makan petang, menikmati ayam goreng bersama-sama. Walau kebanyakan warga emas tidak mampu makan banyak, bukanlah itu intipati yang dicari daripada program berkenaan kerana yang dicari ialah masa yang dihabiskan bersama-sama.

Berakhir hari pertama, hari sudah lewat petang, warga emas dihantar pulang, bersama belon polka dot yang comel, barangan yang dibeli dan kenangan termanis. Masing-masing memberitahu, esok jumpa lagi.

Seperti yang dijanji, hari kedua, seawal jam 9 pagi, sukarelawan pelajar KUIM tiba di Pusat Zafrah. Kali ini masing-masing juga mengambil tugasan yang sudah dirancang awal. Ada yang menyuapkan sarapan, ada yang bersembang-sembang, membantu mengemas dan memasak. Masa berlalu begitu pantas sekali, sekejap saja sudah tiba waktu makan tengah hari.

Menu yang dihidangkan ringkas, tetapi cukup enak dinikmati beramai-ramai. Nasi panas, sup ayam, ikan goreng, sayur dan sambal belacan. Haruman masakan menyelubungi Pusat Zafrah sebagai petanda semua sudah kelaparan. Ia acara terakhir sebelum pulang, acara makan tengah hari bersama-sama.

Sayu dan pilu

Itulah yang dirasa mereka semua hari itu apabila tiba saat perpisahan. Hanif Rosdi Abu Yazid, 21, yang juga pengarah program dua hari ziarah bersama warga Zafrah begitu gembira kerana berjaya memberi sedikit keceriaan kepada warga emas di situ.

“Walaupun begitu banyak dugaan dan cabaran untuk menjayakan program ini, ia berjaya diatasi dengan kerjasama semua. Ini program yang pertama kali seumpamanya kami anjurkan dan kebanyakannya masih baru pertama kali turut serta,” katanya.

Norhashikin Talib, 22, memberitahu sukar mengungkap dengan kata-kata betapa bersyukur dan gembiranya dapat turut serta pada program amal yang sungguh berbekas di hatinya.

“Sebagai timbalan pe­ngarah program, kami mengucapkan terima kasih kepada Pusat Zafrah kerana membeli peluang kami melakukan khidmat sosial di pusat dan membawa warga emas keluar membeli-belah.

“Sejujurnya ini program besar pertama pembabitan saya. Ia memberi pe­ngalaman berharga. Terima kasih juga kepada semua sukarelawan yang berpenat lelah bersama-sama menjayakan program ini. Ini pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Rindu kepada datuk dan nenek di Pusat Zafrah,” katanya.

Nurul Syuhada Talib, 19, juga pertama kali menyertai program seumpamanya.

“Program ini membuatkan saya mahu menyertai program amal lain selepas ini. Pengalaman ini sangat bermakna dan tak akan saya lupakan. Sedih hati apabila tiba waktu berpisah. Kami semua menangis hiba sewaktu bersalaman.

“Dua hari bersama mereka, ada yang terus menganggap kami sebagai anak angkat,” katanya.


Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/86875


gambar hiasan

Menarik Dari Intenet Raya:

[PROMO] Get A Brand NEW 4G LTE Smartphone From As Low As RM158 Today!

Ini 8 Chef Wanita Paling ‘Hot’ & Cantik

8 Things We Wished Our Smart Phone Could Do RIGHT NOW  

Share:

0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.