Powered by Blogger.

Tuesday, October 27, 2015

Kad Top Up RM10 akan kekal RM10.60 untuk warga asing

Suka.info     7:33:00 PM     0

CYBERJAYA 27 Okt. - Satu sistem khusus termasuk untuk membezakan pengguna telefon mudah alih tempatan dan asing sedang dibangunkan bagi pelaksanaan rebat perkhidmatan prabayar mulai 1 Januari tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Beliau berkata, pada prinsipnya, kesepakatan telah dicapai bahawa pelaksanaan rebat prabayar tersebut adalah untuk pengguna warga Malaysia.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi (Telco) yang membangunkan sistem itu juga memberi tumpuan kepada aspek teknikal lain seperti bila pengguna akan mendapat rebat masa berbual (airtime) selepas tambah nilai.

“Sistem ini akan siap, pada Januari. Kami beri jaminan pada masa itu, kami akan laksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar ‘Peranan Media Baharu Memerangi Persepsi Keganasan’ di SKMM di sini Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 mengumumkan pengguna warga Malaysia akan mendapat kembali rebat bersamaan amaun cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka, mulai 1 Januari hingga 31 Disember tahun depan.

Berikutan pengumuman itu, Salleh berkata, kad prabayar yang dibeli akan dikenakan GST namun pengguna warga Malaysia akan mendapat kembali rebat bersamaan amaun GST yang dibayar.

Sambil memberi contoh, beliau berkata pengguna yang membeli kad prabayar RM10, GST akan dikenakan RM0.60 tetapi pengguna warga Malaysia akan mendapat rebat bagi amaun yang dibayar untuk GST dalam bentuk masa berbual.

“Tiada rebat untuk warga asing (pengguna prabayar) kerana kerajaan tidak memberi pengurangan itu kepada mereka,” katanya.

Kini terdapat 33 juta pemilik akaun prabayar berdaftar dalam negara yang 5 juta adalah pemilik akaun warga asing. Salleh turut menjelaskan rebat prabayar itu ditanggung kerajaan menerusi dana dalaman SKMM dan juga telco.

“Ia bukan pulangan daripada GST atau Perbendaharaan,” katanya. - Bernama

0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.