COLUMBIA, Carolina Selatan – Seorang pembantu syerif kulit putih dipecat tanpa gaji kelmarin selepas klip video memaparkan dia menarik seorang remaja perempuan kulit hitam dari tempat duduknya dan menghumbannya berulang kali di sebuah bilik darjah.
Pembantu syerif, Ben Fields diberitahu tentang pemecatannya lewat kelmarin, kata Syerif Leon Lott.
Dia bertugas sebagai anggota polis bantuan di Sekolah Tinggi Spring Valley di Columbia.
Pelajar itu membuat kacau dan enggan meninggalkan bilik darjah walaupun diminta berbuat demikian oleh seorang guru dan pentadbir sekolah.
“Fields kemudian dipanggil untuk mengusirnya dari bilik darjah. Namun, pelajar itu tetap berdegil. Fields kemudian memberitahunya bahawa dia ditangkap,” jelas Lott.
Remaja kulit hitam itu bagaimanapun terus berdegil dan ketika itu, rakaman video menunjukkan Fields mengheret remaja itu dari belakang dan berulang kali menghumbannya supaya keluar dari bilik darjah.
“Fields tidak mengikut prosedur yang ditetapkan,” ujar Lott.
Gesaan supaya pembantu syerif itu dipecat memuncak selepas video berkenaan tersebar di internet. Agensi Biro Siasatan Persekutuan juga memulakan siasatan sama ada berlaku pelanggaran hak awam dalam insiden itu.
Konfrontasi itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh beberapa pelajar lain.
Seorang pelajar berkenaan berkata, konfrontasi bermula apabila pelajar perempuan itu menggunakan telefon pintarnya semasa seorang guru matematik sedang mengajar.
Dia kemudian enggan menyerah peralatan itu walaupun diminta oleh guru berkenaan – AP
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.