SIBU 27 Okt. - Polis menafikan adanya kegiatan menculik orang awam untuk menyamun organ mereka terutamanya di kawasan luar bandar, sebaliknya perkara itu hanya diperbesar-besarkan oleh pengguna media sosial.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Kamal Kordi berkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai kegiatan itu yang menjadi ‘viral’ di laman sosial sejak seminggu lalu.
“Tidak benar. Sekarang banyak perkara viral yang menakutkan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pengguna media sosial mendakwa adanya penyamun yang memburu organ dalaman manusia seperti buah pinggang atau jantung untuk dijual di pasaran asing.
Mohd. Kordi menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita yang belum disahkan kesahihannya.
Selain itu, beliau menafikan adanya perlakuan jenayah yang menjadikan wanita dan anak kecil sebagai umpan supaya pemilik rumah membuka pintu semasa dipanggil wanita, sebelum dirompak.
“Perkara itu sudah viral di laman sosial seperti Facebook namun kami tidak menerima apa-apa laporan mengenainya,” katanya.
Justeru itu, beliau meminta pengguna laman sosial supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang menimbulkan ketakutan kepada orang ramai. - Bernama
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.