KOTA BHARU – Seorang wanita Siam dan anak perempuannya dikurung, didera selama kira-kira seminggu di dalam bilik di sebuah rumah di Tanjung Chat di sini sebelum mereka dapat melarikan diri dan meminta bantuan jiran.
Kejadian menyedihkan itu angkara perbuatan bekas banduan yang juga disyaki menagih dadah dan tinggal bersekedudukan dengan wanita warga Thailand itu.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa dera itu pula disyaki anak luar nikah kepada suspek yang berusia 33 tahun selepas pasangan itu tinggal bersama sejak tahun 2013.
Ibu muda yang berusia 21 tahun dan anaknya berjaya melarikan diri pada Ahad lalu dengan meminta bantuan jiran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim (gambar) berkata, kedua-dua beranak itu dipercayai menjadi mangsa dera kepada suspek dengan mereka dikurung, dipukul dan dicucuh api rokok.
“Pemeriksaan ke atas wanita warga Thailand dan anaknya yang berusia dua tahun menemui kesan lebam pada badan dan mata mereka akibat dipukul.
“Selain itu, turut ditemui kesan cucuhan api rokok pada badan dan punggung kanak-kanak itu,” kata beliau di sini semalam.
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.