SEPANG – Valentino Rossi menafikan dia menendang Marc Marquez sehingga menyebabkan lawannya itu terbabas sewaktu bersaing dalam perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang Ahad lalu.
Perlumbaan di Sepang bermula dengan krisis antara dua pelumba itu selepas Rossi menuduh Marquez membantu rakan senegaranya Jorge Lorenzo dalam perlumbaan Grand Prix Australia di Phillip Island dan berakhir dengan penunggang Honda itu tertiarap di tanah selepas dua pelumba itu berlaga sewaktu bersaing sengit untuk merebut kedudukan ketiga, pada pusingan ketujuh daripada 20.
Rossi mendakwa bahawa, semasa perlumbaan di Sepang, Marquez telah sengaja menghadangnya - sama seperti dakwaannya di Philip Island - tetapi kali ini Rossi bertindak balas dengan cuba menghalang pelumba Sepanyol itu memintasnya.
Rossi, yang digelar The Doctor, mendakwa bahawa dia hanya mahu memaksa Marquez menjauhinya, dalam usaha untuk meninggalkan pencabarnya itu selepas mereka sering kali saling memintas. Bagaimanapun, kaki Rossi telah bersentuhan dengan hendal Marquez, menyebabkan juara dunia dua kali itu terjatuh.
“Saya tidak mahu membuatkan Marquez terjatuh dan saya tidak menyepaknya. Jika anda lihat kepada gambar dan anda boleh lihat daripada (rakaman dari) helikopter. Dari helikopter anda boleh lihat lebih jelas kerana dari tepi nampak seperti saya menendangnya.
“Jika anda lihat (rakaman) dari helikopter, dalam gerak perlahan, agak jelas yang saya telah ke tepi. Saya tidak mengatakan saya mengambil selekoh dengan cara normal - saya mahu menghimpitnya, memperlahankan kelajuan dan membuatkan dia kehilangan masa. Kerana hanya itu yang boleh saya lakukan, kerana setiap kali membrek dia memintas saya, menurunkan kelajuan di selekoh dan pada saya dia tidak memecut di laluan lurus.
“Apabila saya terus memperlahankan kelajuan dan saya memasuki laluannya, kami bersentuhan. Dia menyentuh saya dengan hendalnya di kaki kiri dan disebabkan itu dia terjatuh.
“Jika saya mahu menyepaknya, saya boleh melakukannya 20-30 meter sebelumnya kerana kami sangat rapat. Tetapi jika anda menyepak pemandu MotoGP dia tidak akan terjatuh, kerana motosikalnya berat, sangat mencengkam.
“Dia hanya menyentuh kaki saya dengan hendalnya dan dia terjatuh. Jadi saya sangat kecewa kerana dikenakan penalti tiga mata,” kata Rossi.
Ditanya mengapa dia menoleh kepada Marquez dua kali sebelum sentuhan berlaku, Rossi menjawab: “Saya melihat kepada Marquez lima atau enam kali dalam pusingan pertama. Saya melihat kepadanya untuk berkata ‘apa yang kau cuba lakukan? Kenapa buat begini?’”
Perlumbaan itu dimenangi oleh rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa manakala Lorenzo yang juga rakan sepasukan Rossi dalam pasukan Yamaha di tempat kedua.
Rossi dikenakan tiga mata penalti kerana kesalahan itu dan oleh kerana dia telah mendapat satu mata penalti daripada Grand Prix San Marino di Misano, ini bermakna dia akan memulakan persaingan untuk merebut kejuaraan dunia dengan Lorenzo dalam perlumbaan terakhir di Valencia dari petak terakhir. – AGENSI
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.