DIKUTUK dan dikeji peminat - itu yang sedang berlaku tatkala menyebutkan tentang drama bersiri Hello Mr. Perfect yang sedang ditayangkan di kaca televisyen.
Drama yang mempertaruhkan Fattah Amin dan pendatang baharu, Nur Ruhainies Farehah itu khabarnya dihentam teruk oleh peminat gara-gara beberapa perkara yang kurang memuaskan hati mereka.
Paling terkesan apabila Ruhainies dituduh kurang mahir berlakon dan diistilahkan sebagai ‘kayu’ selain beberapa pelakon baharu lain yang dikatakan menjadi liabiliti kepada keseluruhan drama.
Drama terbitan A. Aida Production Sdn. Bhd. ini juga mempertaruhkan nama-nama besar yang lain seperti Rafiq Razali, Ezzaty Abdullah, Azlan Mokthar, Mimi Ernida, Nafiez Zaidi, Keena Mentor, Eizlan Yusuf, Fiza Elite dan ramai lagi.
Yang paling menakutkan apabila orang menonton tanpa berkata apa-apa. Itu tandanya produk yang dihasilkan langsung tidak mendapat perhatian peminat
Paling terkesan apabila mereka mula mempersoalkan kemunculan Fiza Elite yang membawakan watak ibu kepada Fattah Amin sedangkan jarak usia antara mereka tidak jauh.
Pun begitu sebagai penerbit, A Aida tahu perkara tersebut sedang menghantui kebanyakan peminat setia drama slot Akasia.
Jelasnya, ini bukan kali pertama dramanya mendapat kritikan peminat dan dia sudah biasa berhadapan dengan situasi begini sejak bergelar penerbit lebih 10 tahun lalu.
“Saya tahu orang sedang memperkatakan tentang Hello Mr. Perfect yang sedang ditayangkan. Ramai yang tak berpuas hati dan mengatakan Ruhainies ‘kayu’ dan tak boleh berlakon.
“Bagi saya kalau orang mengata itu merupakan petanda yang baik. Itu tandanya orang menonton dan memberikan reaksi kepada drama yang sedang mereka tonton di kaca televisyen.
“Yang paling menakutkan apabila orang menonton tanpa berkata apa-apa. Itu tandanya produk yang dihasilkan langsung tidak mendapat perhatian peminat,” kata A Aida.
Menafikan yang drama arahan Nuad Haji Othman kurang berkualiti berbanding dengan produk yang pernah dihasilkan sebelum ini, ibu kepada tiga anak ini menganggap peminat masih belum dapat menerima gandingan sebegitu.
Baginya selera penonton tempatan biasanya lebih tertumpu kepada pelakon yang sudah ada nama dan popular berbanding dengan orang baharu seperti Ruhainies.
Tegas A Aida lagi, dia mempertahankan Ruhainies sebagai heroin meskipun pelakon tersebut berada dalam kategori ‘hijau’ kerana mahu memberikan peluang kepada muka baharu.
“Semasa berbincang dengan pihak stesen televisyen dahulu, mereka setuju menggunakan wajah baharu untuk di ketengahkan. Kita pun tak mahu gunakan muka yang sama sentiasa.
“Ruhainies membawakan dua watak dalam Hello Mr. Perfect. Tapi mengapa watak gadis kampung bernama Alya Adriana sahaja yang dikecam dan dikatakan penampilannya langsung tak menarik perhatian.
“Tapi kebanyakan peminat tak pula mengata watak Nurul Ain, gadis liar yang dibawanya. Sebab watak tersebut tak menimbulkan banyak keraguan. Itu tandanya dia tak ‘kayu’ seperti didakwa,” tegas A Aida lagi.
Semangat
TIDAK pernah patah semangat dalam memberikan yang terbaik kepada penonton, tambah wanita ini yang dia sering kali mengambil kritikan tersebut sebagai azimat pada masa depan.
Mengimbau kembali perjalanan syarikat yang sudah menerbitkan puluhan telefilem dan drama bersiri, dia pernah dihentam lebih teruk gara-gara drama Halimah Jongang satu ketika dahulu.
Tidak cukup dengan kutukan di media massa dan portal hiburan, isu jongang yang di ketengahkan juga menjadi perbahasan segelintir Ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat ketika itu.
“Orang pertikai pelakon baharu tak boleh berlakon tapi mereka sedar tak yang pelakon lain semuanya gred A (ada kelas) dan bukannya pelakon sembarangan.
“Hanya kerana watak utama orang baharu terus nak hentam tak boleh berlakon. Itu memang tak adil. Lagi satu mereka yang mempertikaikan mengapa Fiza menjadi ibu kepada Fattah pun patut tahu sebabnya.
“Tak mungkin saya meletakkan pelakon tua separuh usia memegang watak itu. Ini bukan zaman dulu nak letak pelakon berumur sahaja bagi watak ibu.
“Ibu sekarang ada yang muda dan kalau tengok macam dua beradik. Cuba jangan sempitkan pemikiran dengan hal-hal begitu,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, lagu tema Hello Mr. Perfect yang berjudul Hello Hello Sayangku nyanyian Nomad juga dikutuk dan dikatakan kurang berkualiti untuk dijadikan runut bunyi.
Lagu yang diciptakan sepenuhnya oleh A Aida itu seperti kurang cocok lantas turut dijadikan bahan kutukan.
Tidak patah hati dengan perkara itu, jelas A Aida dia gembira kerana lagu tersebut sudah menjadi viral di kebanyakan laman sosial dan sudah ditonton hampir sejuta kali di YouTube.
“Orang kata lagu itu tak sedap tapi jumlah tontonan semakin meningkat. Lagi orang kata lagu itu tak sedap lagi orang nak cari.
“Kalau tak sedap tak mungkin jadi viral. Saya tahu kebanyakan mereka suka sebab keseluruhan lagu yang lebih catchy dan senang diingati tapi malu nak mengaku,” katanya tertawa.
Utusan
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.