Powered by Blogger.

Tuesday, October 20, 2015

Julia Ziegler memang suka seksi

Suka.info     6:42:00 AM     0


KEBERANIAN Julia Ziegler mempertahankan pendiriannya setiap kali namanya terpalit dengan kontroversi menarik perhatian peminat industri hiburan sejak kebelakangan ini.

Wanita berusia 30 tahun ini juga dilihat seolah-olah berhati kering dan tidak kisah menerima apa juga kritikan peminat turut menjadi bahan perbualan.

Masakan tidak, Julia tidak pernah mengambil pusing apa juga kata-kata negatif yang dilemparkan sebaliknya meneruskan kehidupan seperti biasa.

Terkini, nama Julia terpalit dengan kontroversi apabila memuat naik gambarnya yang sedang memakai bikini di akaun Instagram miliknya.

Gambar yang berlatar belakangkan kawasan kepulauan itu kemudiannya menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cara pemakaian Julia yang berbikini itu.

Pertikaian itu membabitkan keputusan Julia yang masih enggan memadamkan gambar berkenaan sehingga ke hari ini.

“Kenapa saya perlu tunduk dengan kehendak segelintir pihak yang mahu saya memadamkan gambar berkenaan sedangkan secara jelasnya saya tidak melakukan sebarang kesalahan?

“Saya tahu diri saya. Lagipun, gambar itu dimuat naik dalam akaun Instagram milik peribadi saya dan bukannya meminjam akaun individu lain.

“Kalaupun ada pihak yang ‘terganggu’ selepas melihat gambar tersebut, saya sendiri juga tidak pernah memaksa orang lain untuk melihatnya.

“Malah saya bertanggungjawab sepenuhnya... Sebab itu saya bertegas untuk tidak akan memadamkan gambar berkenaan sampai bila-bila,” tegas Julia berhubung kontroversi membabitkan namanya itu.

Mengulas lanjut, Julia memberitahu, dia sekadar ingin berkongsi kegembiraannya bersama rakan-rakan sepanjang percutian di Pulau Redang, Terengganu hujung bulan lalu.

Bagi Julia, percutian itu cukup bermakna buatnya kerana itu adalah satu cara dia dapat melepaskan tekanan selepas bertungkus lumus bekerja di ibu kota.

Bagaimanapun apa yang membuatkan dia berasa kurang senang apabila ada pihak yang mempertikaikan cara pakaiannya itu ketika berada di kawasan perairan.

Tambahan lagi apabila berterusan ‘diserang’ dengan kata-kata hinaan daripada segelintir pelayar Internet yang dengan mudah terus menghukumnya lantaran berpakaian sebegitu.

Keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan rasa kurang senang dalam dirinya yang kemudiannya bangkit mempertahankan pendirian diri.

Biarpun dia mengetahui kesan jangka panjang terhadap perbuatannya itu namun Julia berpendapat, tindakannya itu adalah cara terbaik untuk mengajar pihak terbabit.

“Awal-awal lagi saya sudah bersedia untuk menerima kesan daripada tindakan saya itu. Sebab itu, mungkin ada yang melihat saya seolah-olah keterlaluan dalam hal ini.

“Sebab saya merasakan saya tidak bersalah... Cara pemakaian saya juga wajar dan sesuai mengikut situasi kerana berlaku di kawasan pantai.

“Tapi kalau saya memakai bikini di tempat awam, ya itu memang salah dan wajar dihukum. Sebab itu saya membiarkan apa saja komen negatif yang diberikan.

“Saya tidak membalas apa-apa. Sebabnya, saya nak melihat sejauh mana perkara ini menjadi bahan perbualan dalam kalangan pelayar Internet,” jelasnya lagi.

Sengaja mengusik Julia tentang persediaan dirinya jika berterusan dicop pelakon kontroversi gara-gara kerap terlibat dengan kontroversi, wanita ini ada pandangan tersendiri.

Kata Julia, dia selesa menjadi dirinya sendiri berbanding berpura-pura menjadi individu lain. Pendekatan sebegitu juga menjadi penilaian orang luar terhadap dirinya nanti.

Tidak pernah kisah tentang perspektif liar lantaran namanya kerap terpalit dengan cerita panas, kata Julia, apa yang penting buatnya rezeki sentiasa ada.

Ini kerana menurut Julia, dia yang bersusah payah mencari sumber pendapatan selama ini. Dan cerita panas sebegitu langsung tidak membantutkan usaha mencari rezekinya itu.

“Saya maklum yang tidak semua orang boleh menerima cara kita. Satu lagi, penilaian seseorang itu juga berbeza antara satu sama lain.

“Kalau orang nak label saya pelakon kontroversi... silakanlah. Saya tidak kisah kerana saya sendiri yang tahu keinginan diri dan hala tuju saya.

“Tak payah nak terlalu memikirkan tanggapan orang luar terhadap saya. Kelak, saya juga yang jatuh sakit nanti,” kata pemilik bersama syarikat produksi Zioss Films Sdn.Bhd. ini.

Mahu berubah?

BIASANYA tindak tanduk seseorang artis itu sering menjadi ikutan golongan muda namun Julia tidak pernah mengharapkan agar ada pihak yang bakal mengikut jejak langkah sepertinya.

Ini kerana sebagai manusia yang tidak sempurna, Julia kini sedang dalam proses memperbaiki diri sendiri untuk menjadi insan terbaik di sisi-Nya.

Bagaimanapun Julia memberitahu, perkara tersebut biarlah berlaku atas kesedaran diri sendiri dan bukannya kerana desakan orang luar.

Bagi Julia, hanya dia yang mengetahui apa yang terbaik dan membuat keputusan bagi menentukan pilihan yang terbaik dalam hidup.

“Semua orang nak menjadi baik tapi macam mana perkara itu boleh berlaku jika berterusan dihentam oleh pihak yang gemar mencari kesalahan.

“Apa yang sangat saya kesalkan dengan sikap segelintir pihak yang gemar menilai luaran seseorang dan terus membuat kesimpulan sendiri.

“Saya juga manusia biasa yang melakukan kesilapan. Kalaupun saya ada melakukan kesilapan, tidak bolehkah ditegur dengan cara berhemah berbanding dilemparkan kata-kata sinis.

“Konflik sebegini yang buat saya tidak sedap hati sepanjang dalam proses bermuhasabah diri,” ujarnya pelakon drama Silir Kasih Bella yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Antara kontroversi membabitkan nama Julia adalah pernah didakwa mabuk di luar negara, dikatakan tidak beradab dengan tuan rumah semasa di lokasi penggambaran dan sanggup tidur dengan produser drama semata-mata mahu mendapatkan tawaran berlakon sebelum ini.

Solo

MENGUBAH topik tentang kisah cinta, Julia memberitahu, dia juga seperti wanita bujang yang juga memasang impian untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan.

Bagaimanapun menurut Julia, dia masih belum menemui pasangan yang sesuai dan memahami situasi yang dialaminya.

Enggan terburu-buru dalam pencarian tersebut, jelas Julia, dia juga tidak menetapkan sebarang kriteria tertentu untuk dijadikan pasangan hidup.

“Boleh dikatakan sekarang ini adalah waktu saya sedang seronok mencari rezeki. Selain berlakon dan menjadi peragawati, saya juga terlibat dengan kerja-kerja rekabentuk dalaman.

“Terbaru, saya sedang seronok mempelajari selok belok dalam bidang hartanah pula. Banyak perkara baharu sepanjang dalam proses mendalami berkenaan.

“Sebab itu, soal mencari kekasih ini bukan menjadi kepentingan utama. Kalau ada jodoh, saya terbuka untuk menerimanya.

“Lagipun, orang perempuan tak boleh bujang terlalu lama. Jauh sekali nak jual mahal, silap hari bulan nanti tak laku pula,” katanya sambil berseloroh.

Pun begitu, Julia memberitahu, dia menyimpan impian agar calon suaminya itu seorang lelaki yang sanggup membimbingnya ke arah kebaikan.

Paling penting, lelaki berkenaan sanggup susah payah bersama-sama dan berdepan dengan apa juga cabaran mendatang pada masa depan kelak.

Sumber: Utusan

Menarik Dari Intenet Raya:


Share:

0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.