Baru berusia 10 bulan, namun Mohammad Daiyan Faris Rayyan Khaire terpaksa menanggung kesakitan yang amat perit apabila dilahirkan dengan salur darah antara otak ke jantung tidak normal.
Keadaan itu menyebabkan kepala kanak-kanak itu semakin membesar dan dia tidak boleh bergerak seperti kanak-kanak seusianya. Kepalanya perlu ditampung dengan tangan walaupun hanya untuk mendukungnya.
Anak keempat pasangan Khaire Abd. Karim, 32, dan Roziyana Abdul Razak, 32, itu disedari mengalami keadaan berkenaan sewaktu menjalani rutin pemeriksaan setiap bulan di klinik kesihatan ketika berusia lapan bulan.
Menurut ibunya, Mohammad Daiyan kelihatan normal dan tidak menunjukkan sebarang masalah sehinggalah usianya menjangkau lapan bulan apabila doktor memaklumkan saiz kepala bayi itu membesar secara tidak normal.
Doktor meminta Mohammad Daiyan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jelas Roziyana, sebaik menjalani pemeriksaan lanjut pihak hospital memaklumkan bahawa bayinya perlu dibedah segera kerana didakwa mengalami salur darah tidak normal atau Vein of Galen Anearysmal Malformation.
“Mohammad Daiyan mempunyai berat badan yang agak berat, sebab itu saya tidak perasan kepalanya membesar secara tidak normal. Namun, setelah dimaklumkan doktor tentang keadaan anak saya ini, baru perasan dia sering menangis dan nampak kurang selesa, malah masih belum boleh meniarap sedangkan pada usia tersebut dia sepatutnya boleh berbuat demikian.
“Setelah di rujuk kepada hospital, doktor memaklumkan bahawa bayi saya itu perlu dibedah. Malangnya, kebanyakan hospital di negara ini tidak mempunyai peralatan yang diperlukan dan akhirnya Mohammad Daiyan dirujuk ke sebuah hospital di Cheras.
“Menurut doktor penyakit ini jarang berlaku dan Mohammad Daiyan merupakan kes kedua. Kes pertama berlaku enam tahun lepas, tetapi doktor tidak memaklumkan pada saya bagaimana keputusan terhadap kes sebelum itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, Kuala Lumpur.
Ujar Roziyana, selepas dimasukkan ke hospital selama kira-kira dua bulan, doktor memaklumkan satu pembedahan perlu dilakukan ke atas bayinya dan memerlukan kos kira-kira RM35,000.
Pun begitu, pembedahan yang sepatutnya perlu dilakukan pada 13 Oktober lalu, terpaksa ditangguhkan ekoran masalah kewangan yang dihadapi pasangan berkenaan dan akhirnya kanak-kanak itu diminta pulang ke rumah sehingga kos yang perlu disediakan mencukupi.
“Saya bekerja sambilan di kedai gunting rambut manakala suami sebagai juruteknik. Memang kami tidak mampu untuk mengumpul wang sebegitu banyak dalam kadar segera. Sebab itu, pembedahan ditangguhkan dan akan diteruskan apabila wang mencukupi.
“Apa yang membimbangkan, dia perlu dibedah segera kerana bimbang pendarahan lebih buruk berlaku. Secara luaran, ketika ini memang tidak nampak masalah pada Mohammad Diayan, tetapi dia sering menangis mungkin kerana menanggung kesakitan,” katanya.
Menurut Roziyana, tiada rawatan lain boleh dilakukan ke atas bayinya selain pembedahan kerana ubatan-ubatan tidak dapat membantunya untuk sembuh.
Ujar wanita itu, Mohammad Daiyan tidak boleh duduk seperti biasa, malah makan dan minum juga perlu dilakukan dalam keadaan kanak-kanak itu berbaring.
“Setiap kali dia berasa sakit akan nampak jelas di bahagian kepala, urat-urat pada dahi dan muka Mohammad Daiyan akan nampak timbul. Itu menunjukkan dia sedang menahan kesakitan. Melihat dia menahan kesakitan saya tidak sampai hati dan berharap dapat mengumpul wang secepat mungkin,” katanya.
Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Roziyana di 114496159566. - Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ
Sumber utusan
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.