Alor Setar - Hanya kerana anak lelakinya bermain telefon bimbit miliknya, seorang lelaki tergamak memaki hamun dan memukul mangsa dengan kayu di kediaman mereka di Mergong, di sini, Rabu lalu.
Malah, isterinya berusia 41 tahun yang cuba menegur perbuatan suaminya, 40-an, turut menjadi mangsa apabila ditendang dan dibelasah suspek.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, wanita terbabit yang baru pulang dari rumah terkejut apabila mendapati suaminya memarahi anak mereka berusia 15 tahun kerana bermain telefon bimbit lelaki itu.
Menurut sumber, pada mulanya mangsa menegur secara baik dan meminta suaminya menasihat anak mereka secara berhemah, namun gagal apabila lelaki itu melenting.
“Akibatnya berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya sehingga lelaki itu memaki hamun mereka anak beranak.
“Tidak cukup dengan itu, suspek yang gagal mengawal kemarahan bertindak mengambil sebatang kayu dan memukul anaknya,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata, isterinya yang menghalang perbuatan itu turut menerima nasib sama apabila dipukul dengan batang kayu.
“Tidak cukup dengan itu, suspek turut menendang mangsa selain bertindak merosakkan barangan di dalam rumah,” katanya.
Menarik Dari Intenet Raya:
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.