KENINGAU: Tiga cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua kenderaan di Kilometer 18 Jalan Sook-Keningau, di sini petang Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata, kejadian jam 2.30 petang itu melibatkan kenderaan Toyota Hilux dan Perodua Viva yang masing-masing bergerak dari arah yang bertentangan.
“Kenderaan Toyota Hilux yang dipandu oleh lelaki tempatan berumur 29 membawa empat penumpang wanita dari arah Sook ke Keningau telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan seterusnya merempuh kenderaan Perodua Viva yang bergerak dari arah Keningau ke Sook,” katanya.
Beliau berkata, pemandu Perodua Viva sempat memberhentikan kenderaannya tetapi Toyota Hilux yang bergerak menuruni bukit terus merempuh dari hadapan kenderaan itu dan menyebabkan kenderaan Perodua Viva terbalik ke bahu kiri jalan.
Katanya, pemandu Perodua Viva, seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun, hanya mengalami cedera ringan sementara penumpang kenderaan itu seorang lelaki berumur 20 tahun mengalami cedera parah lalu dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah sebelum dihantarkan ke Hospital Keningau.
Menurut Douglas, mangsa mengalami kecederaan patah kedua-dua belah kaki dan tangan kanan.
Sementara itu katanya, pemandu Perodua Viva dan seorang penumpang kenderaan Toyota Hilux seorang wanita berumur 60 tahun yang mengalami cedera di kepala dan mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Sook.
Beliau berkata, pemandu dan tiga penumpang wanita kenderaan Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan pada kejadian itu.
“Hasil siasatan awal polis mendapati pemandu kenderaan Toyota Hilux cuai dan gagal mengawal kenderaannya, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai,” katanya.
Douglas menasihatkan pengguna jalan agar memandu dengan cermat, patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya selain mematuhi had laju yang telah ditetapkan.
“Jangan memandu semasa menggunakan telefon bimbit, tidak memandu dalam keadaan mabuk sebaliknya memberikan tumpuan 100 peratus semasa memandu. Rata-rata kemalangan yang berlaku adalah disebabkan faktor kecuaian manusia,” katanya.
Sumber: theborneopost.com
Menarik Dari Intenet Raya:
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.