MACAU: Bintang terkenal Hollywood termasuk Leonardo DiCaprio merasmikan pusat hiburan dan kasino baharu bernilai AS$3.2 bilion (RM13.7 bilion) di sini Selasa, ketika wilayah terkenal dengan perjudian di selatan China itu terjejas akibat tindakan keras rasuah dari Beijing.
Pembukaan Studio City dimeriahkan dengan tayangan perdana "The Audition", filem pendek mempromosi pusat itu, diarahkan oleh pemenang Academy Award Martin Scorsese dan dibintangi DiCaprio, Robert De Niro dan Brad Pitt.
Filem itu dilaporkan menelan belanja AS$70 juta (RM299.74 juta).
Nama selebriti terkenal Hollywood itu menghadiri upacara pembukaan pusat hiburan berkenaan bersama aktor Hong Kong, Aaron Kwok dan kumpulan muzik Korea Selatan, SISTAR.
Pemaju Studio City yang menggelarnya "pusat hiburan bersepadu" berkata Isnin, mereka yakin dengan masa depan perniagaan itu walaupun berdepan penurunan hasil perjudian.
September lalu, bandar ini menyaksikan bulan ke-16 berturut-turut hasil perjudian menurun, 33 peratus lebih rendah berbanding bulan sama tahun lalu, ketika China menggalakkan jajahan itu supaya cuba mempelbagaikan tarikan berbanding hanya perjudian.
Bandar ini, satu-satunya bahagian di China di mana perjudian kasino adalah sah, mengambil alih Las Vegas sebagai ibu kota kasino dunia dari segi keuntungan selepas sektor itu dibuka untuk persaingan asing pada tahun 2002. -AFP
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.