KUALA LUMPUR 28 Okt. - Dua wanita rentung selepas kereta yang dipandu terbabas lalu terbakar dalam kejadian berasingan di Pasir Puteh, Kelantan dan Nusajaya, Johor hari ini.
Dalam kejadian pertama, Ayuaida Alias, 36, rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas kerana dipercayai cuba mengelak dahan pokok yang tumbang di Kilometer 5, Kampung Jelorm, Pasir Puteh.
Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku ketika mangsa yang dari arah Pasir Puteh menghala ke Jelawat, Bachok dipercayai gagal mengawal kereta Perodua Myvi yang dipandunya.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhamad berkata, mangsa gagal menyelamatkan diri kerana kereta yang dipandunya itu terbabas dan terbalik ke dalam parit.
“Mangsa yang berasal dari Kampung Kuala Rekang, Jelawat itu gagal menyelamatkan diri dan dipercayai tersepit dalam kenderaan.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika hujan dengan keadaan jalan yang licin selain persekitaran gelap. Hasil siasatan juga mendapati terdapat dahan yang menghalang laluan.
“Selain itu, terdapat juga kesan tayar pada bahagian sebelah kiri bahu jalan dari arah ke Bachok sepanjang tujuh meter berkemungkinan besar kesan tekanan brek,” katanya ketika dihubungi di sini.
Abdul Rozak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk dibedah siasat.
Sementara itu, di NUSAJAYA, kejadian pukul 3.40 pagi di Kilometer 32, Jalan Johor Bahru-Pontian berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu Koh Kea Lee, 31, bertembung dengan Proton Exora yang dinaiki Looi Ling Ching, 51, dan Chan Chu Ngo, 47.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Nor Hashim Mohamed berkata, ketika kejadian Kea Lee dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Ulu Choh, manakala Ling Ching dan Chu Ngo dari arah bertentangan.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Kea Lee dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan kereta dipandu Ling Ching, mengakibatkan kedua-dua kenderaan berkenaan terbakar.
“Kea Lee rentung di tempat kejadian manakala Ling Ching dan Chu Ngo yang cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Nor Hashim memberitahu, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat Kea Lee dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.