KUALA LUMPUR 28 Okt. – Seorang anak pegawai kanan polis Bukit Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi penyataan palsu berhubung penjualan kira-kira 50 kereta mewah, tahun lalu.
Ahli perniagaan, Mohamad Azhan Hamza, 31, didakwa memberi penyataan palsu berhubung jumlah kereta yang dijual itu antara 2008 sehingga 2013 melalui pengedar kereta di TTDi Cars, Melinium Auto dan Sentimas Sdn. Bhd.
Tertuduh didakwa memberi pernyataan palsu itu kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya dekat sini, antara pukul 1.45 petang dan 6.30 petang, 16 Julai 2014.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Tertuduh yang memakai baju T lengan pendek berwarna kelabu hadir di mahkamah dengan ditemani bapanya, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Hamza Taib dan beberapa ahli keluarga yang lain.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Liyana Shahrir yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin.
Peguam, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zaidah Khan yang mewakili tertuduh pula memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran anak guamnya di mahkamah.
Hakim Norsharidah Awang kemudian membenarkan Mohamad Azhan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula kes.
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.