JERAI 28 Okt. – Seorang pesawah terkejut apabila menjumpai bayi perempuan yang masih hidup di dalam mesin basuh di rumahnya di Kampung Ulu Dulang Kecil di sini semalam.
Pesawah tersebut, Zainol Hamid, 71, berkata, sewaktu kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu dia sedang berehat di dalam bilik sambil menonton televisyen.
Katanya, dia kemudian menuju ke bilik air yang terletak di bahagian belakang rumahnya kerana ingin membuang air kecil.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara tangisan bayi berdekatan dengan saya. Saya sangka bunyi hantu.
“Tetapi bunyi tangisan tersebut semakin kuat datang dari arah mesin basuh berhampiran tandas dan saya sangat terkejut apabila ternampak seorang bayi yang masih bertali pusat di dalam mesin basuh tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Ulu Dulang di sini hari ini.
Menurutnya, dia mengesyaki bayi tersebut diletakkan di dalam mesin basuh oleh seseorang memandangkan pintu dapur di bahagian belakang rumahnya itu tidak berkunci.
“Hanya pintu depan rumah saya berkunci manakala pintu belakang saya kunci bila saya nak tidur,” ujarnya yang tinggal bersama anak lelaki, menantu serta empat cucunya di rumah itu.
Zainol berkata, dia kemudiannya memaklumkan kepada anak saudaranya, Roslan Ramli, 38, yang tinggal di depan rumahnya mengenai penemuan bayi tersebut.
“Anak saudara saya membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut dan bayi ini dibawa ke Hospital Yan untuk rawatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Kita sedang mengesan suspek dan meminta pihak hospital kerajaan mahupun klinik swasta untuk segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat ibu yang baru bersalin dalam keadaan mencurigakan datang mendapatkan rawatan,” katanya.
Muhamad Halim berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
Utusan
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.