Powered by Blogger.

Friday, October 23, 2015

Bajet 2016: Kerajaan wajar beri perhatian tangani kos sara hidup

Suka.info     8:19:00 AM     0

KUALA LUMPUR: Kalangan Badan bukan kerajaan (NGO) berharap pembentangan Bajet 2016 akan memberi khabar gembira kepada seluruh rakyat tanpa ada yang terpinggir ataupun terjejas kerana peningkatan kos sara hidup membabitkan semua.

Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohamad Firdaus Abdullah, berkata pihaknya yakin kerajaan dapat melihat kos sara hidup secara menyeluruh dan mengimbanginya bagi memastikan rakyat tidak tertekan sekali gus mampu meningkatkan kualiti seharian.

"Kami berharap Bajet 2016 yang akan diumumkan mengambil kira seluruh aspek yang mampu memberi ruang selesa kepada rakyat tanpa membabitkan sesuatu golongan saja. Bajet terbabit perlu mengimbangi kehidupan yang kian mencabar dan peningkatan kos sara hidup.

"Kerajaan boleh menggunakan kaedah melihat semula GST, cukai-cukai lain, tol dan peningkatan harga barangan dengan memperkenalkan inisiatif baharu membabitkan kajian penstrukturan perkhidmatan awam dan kos sara hidup," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Hotel, Bar dan Restoren (NUHBR), Rusli Affandi, berkata pihaknya berharap ia mempunyai pengagihan kekayaan secara saksama yang akan menjadi tulang belakang bajet tahunan sebelum Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun lagi.

"Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan menjaga kebajikan rakyat dengan bajet yang mesra rakyat bagi memastikan kos sara hidup tidak memberi tekanan kepada semua kerana apa yang dirasai golongan miskin dan sederhana tidak akan dirasai golongan kaya.

"Saya percaya, dengan usaha dan inisiatif dalam memastikan kos sara hidup rakyat dapat ditangani secara mesra dan menyeluruh, ia dapat membantu semua pihak termasuk kerajaan dalam memajukan negara seperti yang diharapkan," katanya.


Sumber: berita harian


0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.