KUALA NERANG - Seorang ibu tunggal di sini tidak menyangka seni bela diri yang pelajari menyelamatkannya daripada menjadi mangsa rogol seorang lelaki tidak dikenali, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Adilah, 19, yang bekerja di sebuah pasar raya di Alor Setar dalam perjalanan pulang ke Kuala Nerang dengan menunggang motosikal.
Adilah berkata, ketika itu dia terpaksa memberhentikan motosikalnya di sebuah perhentian bas di hadapan Sekolah Kebangsaan Jabi untuk berteduh disebabkan hujan lebat.
Menurutnya, semasa berteduh di situ, seorang pemuda yang menunggang motosikal Modenas Kriss turut berhenti di penghentian bas berkenaan.
“Semasa pemuda itu singgah dia bertanya kepada saya hendak ke mana dan saya memaklumkan untuk balik ke rumah di Kuala Nerang.
"Pemuda itu mengajak saya untuk pergi bersama kerana kebetulan dia juga mahu pulang ke Kuala Nerang," katanya.
Adilah yang mempunyai seorang anak berkata, dia bersetuju dengan cadangan itu dan menunggang motosikal di hadapan lelaki berkenaan.
Jelasnya, apabila sampai di selekoh simpang ke Kampung Bukit Tembaga tiba-tiba pemuda itu telah memotong serta menghalang motosikalnya.
"Saya terkejut dengan tindakan pemuda itu, dia kemudian terus berhenti motosikalnya di tepi jalan dan bertindak melompat naik di hadapan saya sebelum membawa saya ke sebuah ladang getah di sebuah kampung," katanya.
Adilah berkata, dia tidak dapat melakukan apa-apa dan takut untuk melompat hinggalah pemuda itu membawanya masuk ke ladang getah di kampungnya sendiri.
“Pemuda itu telah membawa saya kira-kira dua kilometer jauh dari jalan utama lalu cuba memeluk dan merogol saya.
"Saya meronta-ronta beberapa kali dan menggunakan teknik taekwando yang dipelajari di sekolah dahulu dengan menyiku kedua belah tangan ke perutnya hingga terlepas dari pelukan itu," katanya.
Adilah berkata, selepas itu dia segera turun dari motosikal dan berlari meminta bantuan penduduk kampung di kawasan berhampiran.
Menurutnya, dengan bantuan orang kampung yang prihatin, mereka menolong menghubungi keluarganya meminta datang ke lokasi berkenaan.
“Tidak lama kemudian keluarga saya datang dan kami terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Nerang," katanya
Adilah berkata, kejadian itu membuatkan dia trauma apabila melihat motosikal jenis Modenass Kriss warna hitam dan mengambil keputusan untuk berhenti bekerja.
Jelasnya, akibat kejadian itu juga dia kehilangan telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM600 dicuri pemuda berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, polis kini sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Menarik Dari Intenet Raya:
0 comments:
Note: Only a member of this blog may post a comment.