Powered by Blogger.

Sunday, October 18, 2015

SKMM digesa sekat saja aplikasi Uber, selesai masalah

Suka.info     9:58:00 AM     0


KUALA LUMPUR 17 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menyekat aplikasi tempahan teksi dalam talian, Uber yang diyakini mampu menghalang, sekali gus menghentikan penawaran perkhidmatan teksi haram di negara ini secara efektif.

Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, usaha penguatkuasaan terhadap pemandu teksi Uber itu amat dialu-alukan namun jumlah penguat kuasa yang terhad tidak mampu untuk membanteras perkhidmatan teksi haram itu secara total.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang bertungkus lumus serta bekerja keras untuk mengambil tindakan terhadap teksi Uber ini tetapi berapa banyak operasi boleh dilakukan dengan bilangan pemandu Uber yang mungkin lebih ramai daripada penguat kuasa?.

“Sebab itu saya minta supaya kerajaan menerusi SKMM menyekat terus aplikasi berkenaan sekali gus boleh menghentikan penawaran teksi yang bukan sahaja tidak berlesen ini malah membawa risiko keselamatan terhadap penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Petekma dan Program Serlahkan Budi Untuk Pemandu Teksi yang disempurnakan oleh Penasihat Sosiobudaya Kerajaaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Menurut Mohd. Syahrir, gesaan itu merupakan salah satu daripada empat inti pati memorandum Petekma untuk diserahkan kepada kerajaan dalam usaha membela nasib pemandu teksi di negara ini.

“Antara tuntutan lain yang disenaraikan termasuk kerajaan meneliti beban pemandu teksi berikutan kenaikan kadar kenderaan gas asli (NGV), kenaikan harga NGV hampir mencecah 50 peratus amat dirasai pemandu teksi .

“Selain itu kita juga meminta kerajaan melihat semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana pemandu teksi merasa amat terbeban dengan caj enam peratus itu, kami beli alat ganti kena caj, bayar penyelenggaraan teksi kena caj, jadi kami minta kalau boleh kerajaan turunkan kepada tiga peratus,” katanya.

Akhir sekali, beliau turut meminta supaya kerajaan melihat semula kesan kenaikan tol antara bandar yang turut membebankan pemandu teksi kerana terdapat dua tol iaitu di Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) dan Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) tidak memberi pengecualian 50 peratus terhadap teksi.

“Kita tidak mahu pula membebankan penumpang dengan meminta caj tambahan kerana melalui tol berkenaan. Apapun saya berharap agar Perdana Menteri dapat mempertimbangkan seterusnya memberikan berita baik menerusi Bajet 2016 tidak lama lagi,” katanya.

Menarik Dari Intenet Raya:


0 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Facebook Baru Kami!

Berita Dalam dan Luar Negara

© 2015 Isu-Isu Duniawi. Designed by Bloggertheme9.
Proudly Powered by Blogger.